Make your own free website on Tripod.com
SEJARAH SEKOLAHSEJARAH SEKOLAH

INFO:

Laman ini akan memaparkan Sejarah
Sekolah Menengah Teknik Kuala Lumpur.

 

SEJARAH SEKOLAH MENENGAH TEKNIK KUALA LUMPUR

SEJARAH penubuhan sekolah ini boleh dikesan dari tahun 1926. Dalam tahun 1927, "The Federated Malay State Government Trade School" telah diwujudkan setelah kerajaan Negeri-negeri Melayu Bersekutu merasakan perlu melatih pekerja-pekerja dalam bidang teknikal. Sekolah ini telah didirikan pada mulanya di Jalan Kolam Air dengan bilangan kakitangan seramai 7 orang, 4 jurulatih, seorang kerani, seorang 'Steward' dan seorang pelayan pejabat.

Penubuhan sekolah ini bertujuan untuk melatih anak-anak Melayu Negeri-negeri Melayu Bersekutu dalam bidang kemahiran teknikal selama tiga tahun. Pada waktu itu, bilangan pelajar hanyalah 10 orang, 8 dari keempat-empat Negeri-negeri Melayu Bersekutu dan 2 lagi dari Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu.

Penubuhan sekolah ini juga bertujuan melatih juruteknik untuk Jabatan Kerja Raya dan juga Tentera Udara Diraja. Latihan-latihan yang diberi adalah seperti berikut:
1) Lukisan teknik
2) Pertukangan besi
3) Mata pelajaran 'motormechanic'
dengan penekanan kepada kerja membaiki enjin.

Ilmu hisab dan Bahasa Inggeris juga terdapat dalam sukatan pelajaran pada masa itu. Beberapa tahun kemudian, kursus-kursus mengenai radio elektrik, ladung-meladung, dan pertukangan kayu juga diperkenalkan. Dengan kedatangan pihak British pada tahun 1946, sekolah tersebut telah dibuka semula dengan nama 'Junior Technical Trade School' dengan jumlah pelajar seramai 80 orang. Namanya sekali lagi ditukar mengikut syor dalam Laporan Razak tahun 1956, kali ini dengan nama 'Technical Institute' selaras dengan syor tersebut. Dalam laporan tersebut juga mangesyorkan agar sekolah ini ditukar menjadi sekolah menengah penuh yang boleh menawarkan palajaran asas teknikal bagi pelajar yang telah menduduki peperiksaan 'Lower Certificate Of Education'.

Akhirnya, pada tahun 1962, nama sekolah ini ditukar kepada Sekolah Menengah Teknik Kuala Lumpur. Dalam tahun 1967, sekolah ini berpindah dari tapak lama di Jalan Kolam Air ke tapak sekolah ini sekarang.

Pada tahun 1997 di bawah projek naik taraf Sekolah-sekolah Menengah Teknik, sekolah ini sekali lagi bertukar wajah dengan penambahan beberapa bangunan untuk pentadbiran, bengkel-bengkel kejuruteraan, dewan besar, dewan makan, surau, dan asrama.

Pada masa sekarang, sekolah ini menawarkan empat jurusan iaitu Jurusan Mekanikal, Jurusan Awam, Jurusan Elektrik dan Elektronik, dan Jurusan Perdagangan dengan bilangan pelajar seramai 880 orang pelajar Tingkatan 4 dan Tingkatan 5. Bilangan pelajar yang tinggal di asrama pula ialah seramai 650 orang.